Golongan belia di sini tidak mempunyai organisasi yang khusus kerana setiap aktiviti yang dijalankan adalah dibawah pengelolaan JKKK kampung masing-masing. Walau bagaimanapun, terdapat juga aktiviti yang melibatkan ketiga-tiga kampung. Setiap kampung mempunyai aktiviti yang sama tetapi waktu yang berbeza contohnya gotong royong kampung, tanah perkuburan mahupun masjid. Kebanyakan aktiviti yang banyak melibatkan ketiga-tiga kampung adalah aktiviti yang melibatkan hari kebesaran Islam seperti, Tilawah Al-Quran, Tadarus, Maulidul Rasul, dan Maal Hijrah.

Terdapat aktiviti atau persatuan yang bukan hanya melibatkan belia malah golongan veteran kampung turut serta iaitu kumpulan hadrah dan zikir. Kampung Kuala Tatau  mempunyai satu kumpulan hadrah dan zikir iaitu Kumpulan Bersatu Kampung Kuala Tatau yang mempunyai ahli seramai 27 orang dari ketiga-tiga kampung. Kumpulan ini dipengerusikan oleh En. Husaini bin Hj Yaman manakala Ketua Hadrah ialah En. Hj. Johari Yusuf dan Ketua Zikir pula ialah Kaderi bin Saruji. Kumpulan ini sering diundang ke majlis-majlis perkahwinan, hari kebesaran Islam dan juga mendapat jemputan dari luar kampung Kuala Tatau. Kumpulan ini pernah menjuarai pertandingan hadrah dan zikir di Pekan Tatau mahupun di Bandar Bintulu itu sendiri.